![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menghadiri Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), pagi tadi.
Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Turut hadir ialah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan.
Tahun ini, kerajaan telah memilih tema “Membangun Ummah MADANI” sebagai asas pengisian sambutan, berteraskan mesej utama iaitu menyeru umat Islam untuk meneladani ibrah hijrah Rasulullah SAW dalam memacu pembangunan ummah. Tema ini menekankan peri pentingnya membina masyarakat yang bertamadun secara menyeluruh bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga rohani dan spiritual demi melahirkan insan yang seimbang dan berakhlak tinggi.
Kemuncak majlis adalah penyampaian Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pengurniaan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dato’ Nooh Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Johor serta Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa kepada Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.
Majlis tahun ini menyaksikan kehadiran lebih 8,000 tetamu. Sambutan Ma’al Hijrah saban tahun bukan sekadar memperingati peristiwa bersejarah Hijrah Nabi Muhammad SAW, tetapi juga menjadi wahana mendidik masyarakat agar terus memperkukuh jati diri Islam dalam menghadapi cabaran semasa. Ia merupakan seruan bersama untuk membina ummah yang lebih bersatu, berdaya saing dan berjiwa besar.