LAWATAN KERJAYA TUDM SUBANG: DEDAH PELAJAR KEPADA BIDANG PERTAHANAN, LESTARIKAN HUBUNGAN AWAM-TENTERA

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SHAH ALAM, 12 Jul 2025 – Seramai 1,393 pelajar dan 107 orang guru dari pelbagai sekolah serta pusat pendidikan awal sekitar Lembah Klang telah menyertai Lawatan Kerjaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang.

Program anjuran Sel Pendidikan Pangkalan Udara Subang adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai organisasi, tugas dan tanggungjawab anggota TUDM serta kemampuan aset-aset strategik yang dimiliki.

Lawatan ini juga menjadi platform komunikasi dua hala yang berkesan dalam usaha mengukuhkan hubungan awam-tentera (CIMIC) yang mana merupakan antara agenda utama Kementerian Pertahanan bagi satu pendekatan yang menekankan pentingnya hubungan kerjasama antara pasukan tentera dan masyarakat awam demi keselamatan serta kemakmuran negara.

Antara institusi yang terlibat termasuk SK TUDM Subang, SMK Shah Alam, SMK TTDI Jaya, SMK Bukit Jelutong, serta pusat pendidikan awal seperti Tabika KEMAS PU Subang, Tadika Sri Pristana, Leticia Psychology, PPQH dan My Playpen Childcare Centre.

Pelbagai pengisian menarik turut disediakan seperti taklimat keselamatan oleh Skn 211 HANDAU, pameran aset TUDM dan Muzium TUDM serta Program Mari Belajar Bahasa Mandarin yang dikendalikan oleh BAKAT PU Subang. Para peserta juga berpeluang mengunjungi gerai-gerai jualan dan kaunter koperasi yang disediakan.

Menurut Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM, penganjuran program seumpama ini adalah salah satu inisiatif jangka panjang dalam membangunkan generasi muda yang celik pertahanan, memahami tanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan pada masa sama menyemai minat terhadap kerjaya dalam bidang keselamatan.

“Pendedahan seperti ini penting agar anak-anak kita lebih memahami peranan strategik TUDM dalam memastikan ruang udara negara kekal selamat, selain menghayati nilai-nilai seperti disiplin, integriti dan semangat berpasukan,” katanya.

Tambah beliau, program ini selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara dan mampu memberikan impak besar kepada pembentukan jati diri generasi pewaris, sekali gus menyumbang kepada kekuatan pertahanan negara dari sudut psikologi dan kesedaran awam.

Secara keseluruhan, Lawatan Kerjaya TUDM Pangkalan Udara Subang 2025 bukan sahaja berjaya mencungkil minat generasi muda terhadap kerjaya ketenteraan, malah menjadi simbol keutuhan kerjasama antara angkatan tentera dan masyarakat, suatu teras penting dalam membina sebuah negara yang berdaulat dan bersatu padu.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN