![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 23 Ogos 2025 – Cawangan Tadbir, Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan Program Jiwa Madani bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong pada hari Sabtu pagi.
Program ini disertai seramai enam (6) pegawai dan 40 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Chairil Ashraff bin Arshad TUDM, Ketua Cawangan Tadbir, Pangkalan Udara Subang.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial serta pembentukan nilai murni dalam kalangan warga TUDM, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program ini adalah kerja penampalan simen pada lantai yang pecah, mengecat semula dinding bilik makmal sains dan mengecat semula pintu grill kelas-kelas terpilih.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah, malah turut memupuk semangat kerjasama, keprihatinan dan nilai kemanusiaan dalam kalangan warga TUDM yang terlibat. Semangat kesukarelawanan dan kepedulian yang ditunjukkan oleh para peserta mencerminkan komitmen TUDM dalam menyumbang kepada masyarakat.
Program Jiwa Madani ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai nilai-nilai murni serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga Cawangan Tadbir, Pangkalan Udara Subang.
Cawangan Tadbir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong atas kerjasama yang diberikan sepanjang program dijalankan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan antara warga TUDM dan komuniti setempat, seiring dengan prinsip-prinsip Malaysia MADANI.