![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2025 – Seramai 10 pegawai dari Tentera Nasional Indonesia–Angkatan Udara (TNI-AU) telah menyertai Junior Officer Exchange Programme (JOEP) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlangsung di Malaysia dari 19 hingga 23 Ogos 2025. Delegasi TNI-AU diketuai oleh Kolonel Pnb A. Kholiq Yulianto.
JOEP merupakan inisiatif strategik tahunan yang bertujuan memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara kedua-dua angkatan udara. Program ini bukan sahaja meningkatkan diplomasi ketenteraan, malah menjadi platform pertukaran ilmu, kepakaran, amalan operasi terbaik dan pemahaman budaya kerja.
Sepanjang program, delegasi TNI-AU telah mengadakan kunjungan hormat kepada Asisten Ketua Staf Kejuruteraan TUDM, Mej Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali serta menerima taklimat mengenai struktur organisasi dan peranan strategik TUDM di Wisma Pertahanan. Mereka turut melawat Pangkalan Udara Subang dan Kolej Tentera Udara bagi meninjau keupayaan operasi TUDM dan sistem latihan.
Selain pengisian ketenteraan, delegasi turut diberi pendedahan budaya dan sejarah Malaysia melalui lawatan ke beberapa lokasi ikonik seperti A’ Famosa Melaka, Menara Berkembar Petronas dan Putrajaya. Program ini sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang kedua-dua angkatan udara dalam memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan yang kukuh, progresif dan saling mempercayai.