![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
GONG KEDAK, 23 Ogos 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah melaksanakan Lawatan Kerja Tahunan Ulung beliau selaku Panglima Tentera Udara Ke-21 ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) bermula dari 21 hingga 23 Ogos 2025. Lawatan ini merupakan agenda strategik bagi menilai kesiapsiagaan pangkalan, pengurusan aset serta kebajikan warga demi memastikan keupayaan pertahanan udara negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Turut hadir, isteri beliau Datin Sri Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU). Beliau telah mengadakan perjumpaan bersama warga BAKAT PUGK serta melaksanakan lawatan kebajikan, sekali gus menzahirkan komitmen terhadap kebajikan keluarga sebagai elemen sokongan utama kepada warga TUDM.
Antara pengisian utama sepanjang lawatan ini adalah sesi dialog Panglima Tentera Udara bersama para pegawai dan anggota PUGK. Sesi ini menjadi platform komunikasi dua hala bagi menyampaikan mesej dan matlamat enam tonggak Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 agar dapat diterjemahkan secara menyeluruh di lapangan. Pada masa yang sama, ia juga berfungsi sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa dan permasalahan secara terus daripada warga sekali gus meningkatkan keberkesanan bagi penambahbaikan dalam pengurusan organisasi dan operasi TUDM.
Bagi meraikan kehadiran Panglima Tentera Udara, isteri serta delegasi, satu Majlis Makan Malam bersama warga PUGK turut diadakan. Majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pucuk pimpinan dengan warga pangkalan serta memperkukuh semangat esprit de corps dalam TUDM. Dalam majlis tersebut, Panglima Tentera Udara turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anggota dan keluarga yang menghidap penyakit kronik serta menyampaikan hadiah pertandingan RKAT Peringkat Pangkalan.
Lebih signifikan, lawatan ini turut menyaksikan pelaksanaan Program Kecergasan Brisk Walk sejauh lima kilometer yang disertai oleh seluruh warga PUGK bersama keluarga. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif “P28” yang diilhamkan oleh Panglima Tentera Udara dalam memastikan setiap warga TUDM mencapai BMI 28 ke bawah serta kekal "fit for duty". Inisiatif ini selari dengan tonggak keenam Perintah Ulung PTU Ke-21, iaitu Melestarikan Warga Udara dengan membudayakan keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance).
Panglima Tentera Udara juga mengadakan lawatan ke Pusat Simulator No. 12 Skn yang berperanan penting dalam memperkukuh keupayaan latihan penerbangan juruterbang pesawat Su-30 MKM dan memastikan tahap kesiapsiagaan operasi sentiasa optimum. Semasa lawatan ini, beliau turut melaksanakan latihan penerbangan menggunakan simulator tersebut.
Lawatan kerja selama tiga hari ini turut diiringi oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU), Lt Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM dan isteri, Datin Aida binti Ibrahim; Panglima Bantuan Udara (PANGBAN), Mej Jen Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan isteri, Datin Zaity Junaida binti Mohd Zaki; Panglima Wilayah Udara 1 (PANGWILUD 1), Mej Jen Dato' Mahadzer bin Amin TUDM dan isteri, Datin Nor Asmah binti Hj Hashim; Panglima Rejimen TUDM, Brig Jen Mohd Zairol Hisham bin Muhamad Ibrahim TUDM dan isteri, Puan Roszaita binti Abdul Rahim; AKS Materiel, Brig Jen Nor Azmi bin Abd Rahman TUDM dan isteri, Puan Saleha binti Shafi; AKS Tadbir, Brig Jen Junairi bin Baharom TUDM dan isteri, Puan Salmiah binti Saud; TAKS P&P, Brig Jen Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM dan isteri, Mej Tytin Sabrina binti Mustapha; serta Komander Pangkalan, Kol Mohd Norazan bin Othman TUDM dan isteri, Puan Madihah binti Murad.