![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KLIA, 31 Mei 2025 — Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan Majlis Pelepasan Jemaah Haji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi musim haji 1446H/2025M bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Majlis penuh simbolik itu menandakan permulaan perjalanan ibadah para jemaah ATM yang terpilih sebagai tetamu Allah SWT untuk menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci.
Dalam ucapan Panglima Tentera Udara, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua jemaah haji ATM yang terpilih pada tahun ini, serta mendoakan agar segala urusan ibadah mereka dipermudahkan.
“Saya mewakili seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada semua jemaah. Laksanakanlah ibadah ini dengan penuh keikhlasan, tawaduk dan kesabaran. Semoga segala amalan diterima Allah SWT dan memperoleh haji yang mabrur,” ujar beliau.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan ibadah haji ATM yang telah melaksanakan pelbagai persiapan termasuk kursus intensif, bimbingan ibadah serta aspek logistik dan kesihatan.
Program Haji ATM merupakan satu inisiatif berterusan dalam memperkasa pembangunan kerohanian anggota melalui ibadah yang menjadi kemuncak perjalanan spiritual umat Islam. Ia turut memperlihatkan kesungguhan ATM dalam membentuk warga pasukan yang seimbang dari sudut jasmani, mental dan rohani.
Seluruh warga TUDM mendoakan agar seluruh jemaah ATM dikurniakan kesihatan yang baik, kelapangan dalam segala urusan serta sentiasa dalam lindungan Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci.