PENUBUHAN UNIT MELAPOR SKUADRON PSSTUDM PERKUKUH STRUKTUR OPERASI DAN TRANSFORMASI PASUKAN SIMPANAN

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 28 Januari 2026 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Noazlan bin Aris TUDM telah menyempurnakan Perasmian Unit Melapor Skuadron Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSSTUDM) dalam satu majlis yang berlangsung di Auditorium Air Warfare Centre, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Majlis tersebut turut disiarkan secara persidangan video dan diikuti oleh lima (5) lagi Unit Melapor di pangkalan seluruh negara. Perasmian ini melibatkan penubuhan Unit Melapor di Skn 181 Pangkalan Udara Subang, Skn 182 Pangkalan Udara Butterworth, Skn 183 Pangkalan Udara Kuantan, Skn 184 Pangkalan Udara Gong Kedak, Skn 185 Pangkalan Udara Kuching dan Skn 186 Pangkalan Udara Labuan.

Penstrukturan ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus, kawalan operasi dan kesiapsiagaan Pasukan Simpanan TUDM agar lebih responsif terhadap keperluan pertahanan udara semasa. Dengan pewujudan unit melapor yang lebih tersusun, pengurusan kompetensi, mobilisasi sumber manusia serta integrasi dengan formasi tetap TUDM dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berfokus.

Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Air Force Reservist Information & Educational System (ARIES), sebuah platform digital yang dibangunkan secara dalaman bagi menyelaras penyimpanan, pengurusan dan pengemaskinian data pegawai serta anggota Pasukan Simpanan di seluruh negara. ARIES menjadi pemangkin kepada transformasi digital PSSTUDM melalui pemusatan data, pemantauan kecekapan latihan dan penilaian kesiapsiagaan secara masa nyata, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan pengurusan sumber.

7 8 9
10 11 12

 

Dalam ucapannya, Panglima Tentera Udara menegaskan bahawa penubuhan Unit Melapor ini bukan sekadar peluasan struktur organisasi, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen TUDM untuk memperkukuh komponen Pasukan Simpanan sebagai elemen sokongan strategik kepada angkatan tetap. Beliau turut menekankan bahawa struktur yang lebih khusus dan berorientasikan fungsi akan membolehkan kepakaran Pegawai Simpanan Sukarela dimanfaatkan secara optimum dalam menyokong operasi, latihan serta penugasan khas mengikut keperluan semasa.

Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato' Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM; barisan Pegawai Kanan TUDM serta pegawai dan anggota di Pangkalan Udara Subang.

Penubuhan Unit Melapor Skuadron PSSTUDM ini mencerminkan usaha berterusan TUDM dalam memperkasa komponen Pasukan Simpanan sebagai force multiplier yang berupaya menyokong kelangsungan operasi dan memperkukuh daya tahan organisasi TUDM.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN