![]() |
PORT DICKSON, 4 Sep 25 – Kejohanan Bina Badan Antara Perkhidmatan Mr. ATM Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang, pertemukan para atlet badan beruniform dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kejohanan tahunan yang menjadi acara kemuncak dalam kalendar sukan ATM ini telah diadakan di Dewan Tan Sri Mohammad, Kem Segenting dengan penyertaan lebih 43 atlet dari ketiga-tiga perkhidmatan. Para peserta telah bersaing dalam beberapa kategori berat badan bermula dari kategori Man Athletic Physique, Man Sport Physique, seterusnya kategori lightweight hingga heavyweight bagi merebut gelaran berprestij Mr. ATM 2025.
Kejohanan Bina Badan Antara Perkhidmatan Mr. ATM Tahun 2025 telah mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dianjurkan oleh Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) yang turut bertindak sebagai tuan rumah kejohanan tahun ini di mana Komandan PUSASDA yang juga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bina Badan Tentera Darat (PBB TD) merangkap Presiden Persatuan Bina Badan Angkatan Tentera Malaysia (PBB ATM) telah menyempurnakan Upacara Penutup Kejohanan.
Dalam persaingan yang sengit dan berkualiti tinggi, gelaran “Champ of Champ” bagi Bina badan 70kg ke atas telah dinobatkan kepada Sjn U Zainal Arif yang menampilkan pakej lengkap dari segi saiz otot, simetri, ketahanan serta persembahan pentas yang meyakinkan. PBB TUDM pada tahun ini telah berjaya memperolehi empat (4) pingat Emas, tujuh (7) pingat Perak dan tiga (3) pingat Gangsa.
Kejohanan ini juga berjaya mengukuhkan semangat ‘esprit de corps’ antara perkhidmatan di samping memupuk persaingan sihat dan jalinan kerjasama dalam kalangan anggota. Ia menjadi bukti bahawa kecergasan fizikal adalah elemen penting dalam kelangsungan kesiapsiagaan ketenteraan dan wajar terus diperkasa.
Turut hadir Upacara Penutup Kejohanan ini adalah Pengerusi PBB TLDM, PBB TUDM serta pegawai kanan dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan para penyokong yang hadir memberi sokongan padu.