MEMPERKASA KEJURUTERAAN TUDM KE ARAH TRANSFORMASI CAP 55

1 2 3

 

MELAKA, 4 Sep 25 – Mesyuarat Pegawai Kanan Kejuruteraan Tahun 2025 yang dianjurkan oleh MTU-Kejuruteraan telah berjaya dilaksanakan di Hotel Holiday Inn, Melaka pada 2 hingga 4 Sep 25.

Mesyuarat yang dirasmikan oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Kejuruteraan, Mej Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM menghimpunkan Pegawai-pegawai Kanan Kejuruteraan berpangkat Lt Kol TUDM ke atas termasuk Ketua Cawangan Kejuruteraan yang berpangkat Mej TUDM.

Mesyuarat ini merupakan platform untuk membincangkan isu-isu semasa bagi mendapatkan pandangan serta mencetus cadangan yang baharu berkaitan kejuruteraan dalam TUDM, selaras dengan usaha memperkukuh keupayaan organisasi ke arah mencapai CAP55.

Mesyuarat ini turut membentangkan tiga (3) kertas kerja utama yang merangkumi pengukuhan keupayaan kejuruteraan TUDM dalam mendokong aspirasi CAP55, penambahbaikan pengurusan penempatan juruteknik berlandaskan keperluan State Aircraft Maintenance License (SAML) serta strategi kejuruteraan dalam menyokong pelaksanaan Cyber Electromagnetic Activities (CEMA) dan Intelligence Data Fusion Center (IDFC).

Ketiga-tiga kertas kerja ini dibincangkan secara kolektif oleh para peserta dan hasil perbincangan telah dijadikan asas kepada pelan resolusi kejuruteraan TUDM bagi memperkukuhkan keupayaan sedia ada serta menyokong agenda transformasi jangka panjang.

Selain itu, turut diadakan beberapa sesi taklimat yang merangkumi topik penting seperti keupayaan dan cabaran satelit komunikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pembangunan serta pengoperasian CEMA, IDFC, IO dan pelan pembangunan keupayaan daripada perspektif Bahagian Kejuruteraan serta integrasi sistem avionik dalam landskap penerbangan ketenteraan Malaysia daripada Syarikat G7 Sdn. Bhd.

Majlis penutupan mesyuarat telah disempurnakan oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU), Lt Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM yang turut menyampaikan amanat kepada para peserta.

Mesyuarat ini secara keseluruhannya berjaya mencapai objektif sebagai landasan strategik dalam memperkukuh bidang kejuruteraan TUDM melalui kolaborasi, inovasi dan perancangan jangka panjang sejajar dengan agenda transformasi ke arah CAP 55.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

INTERNAL AGENCY