JEN DATO’ SRI HAJI MUHAMAD NORAZLAN BIN ARIS TUDM DILANTIK SEBAGAI PANGLIMA TENTERA UDARA KE-21

1 3 5
6 8 9 2
15 16 19

 

SUBANG, 26 Jun 2025 - Dalam Istiadat Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara Ke-20, turut diadakan salah satu acara yang bersejarah buat TUDM iaitu upacara pemakaian pangkat kepada Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM yang telah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21 menggantikan Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.

Upacara pemakaian pangkat telah disempurnakan secara bersama oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara Ke-20 dan isteri kepada Panglima Tentera Udara Ke-21, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar.

Acara kemudiaannya diteruskan dengan Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara yang turut disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera. Acara dimulakan dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas dan disusuli dengan penyerahan ‘Tonggak Kuasa’ sebagai simbolik penyerahan kuasa secara rasminya kepada Panglima Tentera Udara Ke-21. Selesai acara, Panglima Tentera Udara Ke-21, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan.

Panglima Tentera Udara dalam sidang media menzahirkan setinggi-tinggi kasih dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia atas limpah perkenan dan kepercayaan kepada beliau untuk menerajui TUDM.

Beliau juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara ke-20 atas segala jasa, pengorbanan, kepimpinan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh beliau menerajui dan memimpin TUDM.

Panglima Tentera Udara juga berjanji akan memastikan segala perancangan TUDM yang telah disusun di dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55 akan diteruskan bersama barisan kepimpinan TUDM yang baharu. Ia bagi memastikan TUDM terus menjadi sebuah kuasa udara yang berkredibiliti, unggul dan berspektrum penuh.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer