SJN U MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN MAT DAUD TELAH MENGUNGGULI ACARA PERSEORANGAN PETANQUE DI KEJOHANAN BOULES-PETANQUE KEBANGSAAN TAHUN 2025

1 2 3

 

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 – Kehebatan dan ketenangan di dalam gelanggang telah membuahkan hasil apabila atlet petanque ATM dan TUDM, Sjn U Muhammad Hafizuddin bin Mat Daud dinobatkan sebagai Juara Petanque kategori Perseorangan di Arena Petanque Pudu Ulu, Kuala Lumpur.

Kejohanan Boules-Petanque Kebangsaan tahun 2025 kategori perseorangan ini telah menyaksikan penyertaan seramai 128 orang pemain dari seluruh negeri di Malaysia. Kejohanan ini telah berlangsung dengan format beberapa pusingan saringan awal sebelum Sjn U Muhammad Hafizuddin berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir dan separuh akhir. Aksi konsisten yang dipamerkan oleh beliau telah berjaya melayakkannya ke pentas akhir. Dalam perlawanan akhir, Sjn U Muhammad Hafizuddin yang mewakili ATM telah diputuskan untuk menentang atlet dari Pasukan Petanque Negeri Terengganu. Berbekalkan pengalaman luas dan semangat juang yang tidak mengenal erti menyerah, beliau tampil dengan aksi cemerlang pada perlawanan akhir yang penuh dramatik apabila berjaya menewaskan lawannya dengan keputusan tipis 13 - 12.

Kejohanan ini merupakan Sirkit Kebangsaan anjuran Malaysian Boules Sport Federation (MBSF) yang akan menilai kemampuan atlet untuk dipilih mewakili Pasukan Petanque Kebangsaan ke Kejohanan Sukan Sea ke-33 Bangkok yang dijadualkan pada Disember 2025. Majlis Penutup Kejohanan ini, telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Noor bin Abdul Rahim selaku Pengerusi Boules Petanque Malaysia.

Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Sjn U Muhammad Hafizuddin bin Mat Daud di atas pencapaian yang cemerlang dan membanggakan ini. Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan Sjn U Muhammad Hafizuddin sebagai pemain elit petanque negara, malah turut mengangkat nama ATM dan TUDM dalam arena sukan kebangsaan.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer